1. PENGENALAN
Tulisan ini merupakan sebuah skesta dan imbasan kepada peristiwa dan perkembangan dalam negara kita yang tercinta ini. Catatan seperti ini tidak diambil berat atau dipedulikan atau tidak dibuat langsung oleh sesiapa tetapi disedari dan diketahui benar-benar oleh warga yang sensitif dan prihatin. Tidak dinafikan bahawa Negara ini telah banyak menerima pembangunan dan perubahan. Perubahan ini boleh ditafsir dan difahami sebagai kemajuan atau pembangunan. Pembangunan merupakan fitrah alam dan manusia. Ianya berlaku sepanjang zaman. Pembangunan dan kemajuan tidak semestinya baik semua atau pun buruk semua. Mungkin baik kepada seseorang tetapi buruk kepada seseorang yang lain. Hutan yang diteroka begitu berleluasa mungkin tidak baik kepada penghuni hutan tetapi baik kepada pengusaha balak dan pertanian mega kerana mendatangkan keuntungan kepada mereka sementara tempat tinggal penghuni hutan kian sempit yang menyebabkan mereka sukar bergerak bebas. Itulah tuntutan kemajuan yang mestilah ada yang memberi dan ada yang menerima dan mesti ada pula yang berkorban dan terkorban. Kandatipun begitu golongan kerdil dan marhaenlah yang selalunya menjadi mangsa walaupun ada yang menerima. Selalunya yang besar itu memakan isi dan yang kecil hanya memakan kuah. Ini perkara lazim dan lumrah, tapi apakan daya kita orang lemah, kita hanya mampu menonton dengan mulut yang terlopong masuk angin keluar asap seperti seloka Allahyarham P.Ramlee dalam filem siri Bujang Lapuknya. Biarkanlah begitu asalkan kumpulan marhaen seperti kita pun mendapatkan sedikit limpahan rezeki yang mengalir lesu seperti sungai dimusim kemarau. Inilah sikap dan pendirian orang-orang Melayu khususnya golongan marhaen.
2. DI MANA KEDUDUKAN KITA
Pendirian penulis dalam ehwal kemajuan ini tidaklah begitu jumud sebaliknya anjal mengikut situasi semasa. Penulis pula bukan anti pembangunan dan tidak pula penyokong pembangunan yang melulu dan menyonsong arus. Pada hemat penulis yang pentingnya seseorang itu perlu meletakkan dirinya ditempat yang asas dan betul. Kita mesti ingat siapa kita, apa bangsa kita, apa addin kita, apa hak kita, apa peranan dan tanggungjawab kita, apa kefahaman kita, apa sensitiviti kita dan beberapa apa lagi termasuk kenapa kita dijadikan oleh Allah SWT dan kemana akhiran kita ? Mungkin seseorang melihat coretan ini sebagai gila-gila tetapi tahukah kita bahawa perkara ini adalah realiti yang terbentang di alam nyata. Persoalan tadi semuanya boleh dijawab jika kita menghisab dan menilai diri kita dalam ruang lingkup yang luas serta memperhatikan sendiri alam disekililing kita .
Justeru kita hendaklah kembali kepada hakikat kejadian kita, rujuklah kepada Allah Azawajalla kerana Allah yang menjadikan semua makhluk di alam ini. Sebagai panduan bersama rujuklah Al Quran surah Al-Zariat ayat 56 yang jelas menyatakan apakah tujuan kita dijadikan Allah. Jelasnya kita dijadikan semata-mata untuk mengabdi diri kepada Allah SWT dalam semua aspek kehidupan.
....BERSAMBUNG....