Assalamu’alaikum wrt. wbt.
Para pengunjung blog Tinta Jihad yang dihormati!
Kehidupan di mayapada ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Dalam tempoh kematangan ini, aku kira perlu mengadakan sesuatu dalam meneruskan kehidupan yang rencam. Usia yang bertambah dari waktu ke waktu seharusnya dipenuhkan dengan sesuatu yang menuntut keredhaan Allah SWT. Aku faham dan sedar tujuan manusia dicipta Allah di dunia ini adalah untuk mengabdi diri kepada Nya seperti firmanNya dalam Surah Ar Zariat 56 yang bermaksud “ Tidak Ku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdi diri kepada Ku “
Perintah Allah tersebut tidak setakat menjalankan ibadah khusus semata-mata, tetapi ibadat umum juga perlu dilakukan dalam semua aspek kehidupan demi ubudiahku kepada Allah SWT pencipta sekelian alam. Setiap kali dalam solatku, aku mengaku di hadapan Allah bahawa “ Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku semata-mata kerana Allah ”. Aku sering bertanya pada diriku, apakah sudah cukup pengabdianku kepada Allah selama ini ? Berapa banyakkah pemberian dan rezeki Allah yang telah ku pergunakan dan nikmati hingga kini ? Rasanya tidak sebesar mana nikmat Allah yang ku syukuri ? Betapa murkanya Allah kepadaku kerana sering mengingkari titah perintah Nya.
Lantaran semua itulah, aku rasa terpanggil untuk melakukan jihad, kalau diawal Islam dahulu orang berjihad menggadai harta dan nyawa. Zaman itu kini telah berlalu, kini orang berjuang dengan minda dan ilmu, orang sudah tidak peka dengan kemungkaran dan jihad lagi, namun dalam zaman fahsya dan mungkar ini masih ada orang yang prihatin. Aku ingat pada Sabda Rasulullah yang bermaksud “ Jika kamu melihat kemungkaran cegahlah dengan tangan (kuasa), kalau tidak berkuasa dengan lisan (termasuk tulisan), dan kalau tidak mampu lagi dalam hati, dalam hati itu adalah selemah-lemah iman “ . Justeru, aku memilih cara kedua iaitu dengan lisan dan tulisan.
Demi Allah dengan kebolehan yang dianugerahkan kepadaku, aku akan menggunakan tulisan untuk menyatakan jihad ku. Ini adalah tempat yang akan ku gunakan untuk tujuan itu. Inilah Blog pertamaku... Blog Tinta Jihad ku !!
Dari Allah Kita datang kepada Allah kita kembali....
Wassalam