Wednesday, May 20, 2009

SAMBUNGAN : "KEMAJUAN APA SEBENARNYA"

 3. PERSOALAN

Soalnya berapa ramaikah orang yang faham tentang kejadian manusia, kenapa dan mengapa kita dijadikan.Tahukah kita agaknya tentang sejarah dan peradaban Negara dan Bangsa kita? Walaupun telah menjadi nostalgia tetapi kita perlu mengetahui nya, sekurang-kurangnya untuk mengetahui bahawa pada satu ketika dahulu Negara kita dan peradabannya pernah dikuasai Islam yang menjadi kebanggan ummah. Apakah tanggapan orang kita kini, terutama yang telah diorientasi fikrah mereka oleh penjajah dan anak didik penjajah, apabila kita membuat kenyataan begini ? Sebelum golongan kuffar laknatullah datang menjajah seluruh Tanah Melayu, semua penduduk ketika itu telah menerima dan menganut Islam yang syumul apabila Islam sampai ke Nusantara dalam kurun ke empat belas. Dinukilkan dalam sejarah yang dicatat orientalis bahawa tujuan Penjajah-penjajah barat seperti Portugis, Belanda, Sepanyol dan Inggeris datang ke ceruk rantau terutama Benua Asia ialah untuk membeli dan berniaga rempah ratus. Tetapi itu hanya satu penipuan dan pembohongan untuk mengaburi mata dunia dan sejarah, tujuan sebenarnya ialah untuk meluaskan empayar mereka dan mengembangkan Agama Kristian keseluruh dunia, terutama Negara Islam atau Negara yang didiami ramai Umat Islam. Hasilnya banyak Negara-negara di Asia terutama Tanah Melayu dijajah satu persatu bermula dengan Melaka yang jatuh ketangan Portugis pada tahun 1511 Masehi. Setelah dijajah kesemua Negara kecuali Siam, Negara-Negara ini difaraidkan dikalangan mereka. Lantaran penjajahan inilah semua sistem pemerintahan, masyarakat, sosiobudaya, pendidikan dan undang-undang Islam telah dicerai-beraikan. Proses kristianisasi, sekularisma, liberalisma berlaku secara mendadak dan sistematik sekali. Undang-undang Negara yang berasaskan Islam telah digantikan dengan ‘comman law’ kecuali undang-undang berkaitan keluarga dan umat Islam secara khusus. Agama Kristian telah dikembangkan begitu pesat dengan dokongan dan pembiayaan mereka, gereja-gereja dibangunkan, sekolah-sekolah sekular dan Kristian tumbuh seperti cendawan selepas hujan diseluruh Negara. Kini Negara kita telah merdeka sejak 31 Ogos 1957, Jubli Emasnya telah disambut secara besar-besaran tahun ini (2007), betapa meriah dan gahnya perayaan itu memang dipuji oleh masyarakat seantero dunia. Negara Malaysia sudah berjaya membangun menuju Wawasan 2020nya hasil cetusan pemikiran Adi Jagat. Sebagai warga yang cintakan tanah air, kita pun turut berbangga.

Persoalannya apakah hakikat  pembangunan yang wujud sekarang ? Negara kita memang dalam proses pembangunan fizikal dan infranstruktur yang pesat ! Tapi pernahkah kita mengkaji implikasi hasil pembangunan yang tidak seimbang jasmani dan rohani ini ? Ini bukan ‘negative minded’ tapi satu penilaian yang telus dan objektif. Semua orang yang sedar dan siuman boleh menilai danmemikirkannya secara logik dan ‘rational’ !

 

4. PAKAH KEMAJUAN KITA

Mengikut Tokoh Besar kita, Malaysia sedang maju dengan pesat dan drastiknya mengikut acuan sendiri sekarang, tahun 2020 nanti Negara kita akan menjadi Negara maju sepenuhnya setanding dengan Negara-negara maju dunia . Tercapai atau tidak masih jauh masanya untuk dinilai dan diperkatakan. Tetapi kalau dipandang secara kasar hasrat itu harus digapai. Harus diingat bahawa kemajuan itu adalah subjektif, ianya mengikut tempat dan keadaan. Bila disebut maju sepenuhnya, bolehkah kita membuat perbandingan misalnya antara Ulu Tembeling dengan Kuantan, Kuala Pilah dengan Johor Bharu, Gemencheh dengan Georgetown, Pasir Mas dengan Seremban atau Raub dengan Kuala Lumpur ? Perbandingan dari segi Negara pula, jika diambil kira ; kita lebih baik dari Bangladesh tetapi dengan Singapura pula kita lebih jauh ketinggalan, apatah lagi kalau dibandingkan dengan Amerika Syarikat, tentulah ibarat bumi dengan langit ! Oleh kerana pembangunan dan kemajuan itu subjektif sifatnya, adalah tidak releven untuk dibuat perbandingan walaupun betul. Walaubagaimanapun dari segi lahiriahnya kita setuju dengan status Negara kita dan perbandingan tersebut . Tapi harus diingat bahawa kemajuan itu tidak sepatutnya hanya diukur dari keadaan dan kemudahan infranstruktur sahaja, indikator lain juga perlu diambil kira seperti pendapatan per kapita, jurang pendapatan antara kaum, paras kemiskinan, taraf pendidikan, indeks rasuah, jumlah hutang Negara dan lain-lain yang berkaitan. Selalunya apa yang diambil kira hanya kemajuan lahiriah dan kebendaan sahaja. Bagaimana pula dengan masalah sosial, akhlak dan kerohanian rakyat terutama golongan remaja? Bagaimana dengan isu-isu yang melanda Negara seperti pembunuhan, penculikan, penyelewengan dan lain-lain yang terlalu banyak untuk dinukilkan satu persatu. Masalah masyarakat yang bobrok kurang diperbincangkan dan usaha memperbaikinya tidak dijalankan secara serius. Inilah persoalannya dulu, kini dan selama-lamanya yang juga perlu ditangani walaupun jika kemajuan dicapai sepenuhnya mengikut jangkaan dan kerangka Wawasan 2020 itu.

....bersambung di cetusan akan datang....

Saturday, May 9, 2009

Dunia Kian Tua

(Sempena Maal Hijrah 1429)


Masa silih berganti

Hari demi hari

Bulan demi bulan

Tahun demi tahun


Insan !

Dari kanak-kanak menjadi remaja,

Dewasa menjadi tua,

Menjadi ganyut dan tua renta,

Dan akhirnya tiada …….musnah.


Ini lumrah alam ,

Baru dan berubah-ubah ikut ketentuan Allah,

Dunia sudah berjuta - juta tahun !

Pasti hancur musnah akhirnya.


Era Nabi Muhammad sudah ribuan tahun,

Bagaimana zaman Adam dan sebelumnya?

Pasti sudah berjuta tahun !

Ah ! sudah tua dan gayut bumi ini !


Sudah akhir zaman kini !

Banyak kejadian aneh dan ganjil,

Udah ada manusia berjalan telanjang,

Dedah disana dedah disini,

Munkar maksiat berlaku silih berganti,

Perempuan sudah menyamai lelaki,

Sudah berlaku sabda Nabi,


Bumi sudah banyak yang musnah,

Rekah disini , runtuh disana,

Banjir melanda ghairah sekali,

Gunung meletup lahar berapi,

Ombak menggulung macam tsunami,

Pasak bumi sudah tidak kukuh lagi,


Manusia bernafsu serakah,

Memaju bumi tanpa henti-henti,

Hutan dah banyak diceroboh, gondol,

Bakar di sana bakar disini,

Hutan batu tumbuh bak cendawan pagi,

Ozon sudah nipis , sekitar sudah cemar,


Mereka sudah rosakkan bumi persis Firman Allah,

Mereka tidak fikir dosa pahala ,tidak fikir Allah murka,

Yang mereka mahu maju, mewah,

Ikut nafsu dan selera belaka,

Ini tahun baru masehi,

Apa mereka fikir!

Maju dan benda semata,

Rebut dunia sepuas-puasnya,

Dengan modal insan mereka


Kini dunia sudah tua!

Sempena Maal Hijrah,

Fikirlah kita yang insaf,

Kembalilah ikut acuan Nya’,

Dunia akan musnah!

DAN .......

Dunia kini kian tua!

DIMANA KITA ?!


Sajak ini ditulis olehku pada tanggal 20 Jan 2008 bersamaan 11 Muharram 1429.

Tuesday, April 28, 2009

KEMAJUAN ! APA SEBENARNYA

1. PENGENALAN

Tulisan ini merupakan sebuah skesta dan imbasan kepada peristiwa dan perkembangan dalam negara kita yang tercinta ini. Catatan seperti ini tidak diambil berat atau dipedulikan atau tidak dibuat langsung oleh sesiapa tetapi disedari dan diketahui benar-benar oleh warga yang sensitif dan prihatin. Tidak dinafikan bahawa Negara ini telah banyak menerima pembangunan dan perubahan. Perubahan ini boleh ditafsir dan difahami sebagai kemajuan atau pembangunan. Pembangunan merupakan fitrah alam dan manusia. Ianya berlaku sepanjang zaman. Pembangunan dan kemajuan tidak semestinya baik semua atau pun buruk semua. Mungkin baik kepada seseorang tetapi buruk kepada seseorang yang lain. Hutan yang diteroka begitu berleluasa mungkin tidak baik kepada penghuni hutan tetapi baik kepada pengusaha balak dan pertanian mega kerana mendatangkan keuntungan kepada mereka sementara tempat tinggal penghuni hutan kian sempit yang menyebabkan mereka sukar bergerak bebas. Itulah tuntutan kemajuan yang mestilah ada yang memberi dan ada yang menerima dan mesti ada pula yang berkorban dan terkorban. Kandatipun begitu golongan kerdil dan marhaenlah yang selalunya menjadi mangsa walaupun ada yang menerima. Selalunya yang besar itu memakan isi dan yang kecil hanya memakan kuah. Ini perkara lazim dan lumrah, tapi apakan daya kita orang lemah, kita hanya mampu menonton dengan mulut yang terlopong masuk angin keluar asap seperti seloka Allahyarham P.Ramlee dalam filem siri Bujang Lapuknya. Biarkanlah begitu asalkan kumpulan marhaen seperti kita pun mendapatkan sedikit limpahan rezeki yang mengalir lesu seperti sungai dimusim kemarau. Inilah sikap dan pendirian orang-orang Melayu khususnya golongan marhaen.

2. DI MANA KEDUDUKAN KITA

Pendirian penulis dalam ehwal kemajuan ini tidaklah begitu jumud sebaliknya anjal mengikut situasi semasa. Penulis pula bukan anti pembangunan dan tidak pula penyokong pembangunan yang melulu dan menyonsong arus. Pada hemat penulis yang pentingnya seseorang itu perlu meletakkan dirinya ditempat yang asas dan betul. Kita mesti ingat siapa kita, apa bangsa kita, apa addin kita, apa hak kita, apa peranan dan tanggungjawab kita, apa kefahaman kita, apa sensitiviti kita dan beberapa apa lagi termasuk kenapa kita dijadikan oleh Allah SWT dan kemana akhiran kita ? Mungkin seseorang melihat coretan ini sebagai gila-gila tetapi tahukah kita bahawa perkara ini adalah realiti yang terbentang di alam nyata. Persoalan tadi semuanya boleh dijawab jika kita menghisab dan menilai diri kita dalam ruang lingkup yang luas serta memperhatikan sendiri alam disekililing kita .

Justeru kita hendaklah kembali kepada hakikat kejadian kita, rujuklah kepada Allah Azawajalla kerana Allah yang menjadikan semua makhluk di alam ini. Sebagai panduan bersama rujuklah Al Quran surah Al-Zariat ayat 56 yang jelas menyatakan apakah tujuan kita dijadikan Allah. Jelasnya kita dijadikan semata-mata untuk mengabdi diri kepada Allah SWT dalam semua aspek kehidupan.


....BERSAMBUNG....

Tuesday, April 7, 2009

MENGERTILAH...


Mengertilah bahawa Allah itu Maha Esa

Menegertilah bahawa Allah itu Maha Berkuasa

Mengertilah bahawa Allah itu tiada awalan dan tiada akhiran

Mengertilah bahawa Allah itu pencipta seluruh Alam


Mengertilah bahawa Allah menemukan dan memisahkan

Mengertilah bahawa setiap permulaan ada pengakhiran

Mengertilah bahawa setiap kehidupan ada kematian

Mengertilah bahawa setiap perlakuan dinilai Tuhan


Mengertikah kita setiap kemungkaran diakhiri dosa

Menegertikah kita setiap kebaikan diakhiri pahala

Mengerikah ketika setiap kejahatan dibalasi neraka

Mengertikah kita setiap kebaikan diganjari syurga


Inilah cerita Allah Azzawajalla

Dengan penciptaan Nya

Dunia yang fana

Penuh cakerawala

Syurga dan neraka Nya

Inilah kisah pembalasan

Inilah kisah ganjaran

Itulah kuasa Nya

Kuasa yang tiada tolok bandingnya


Inilah kisah insan di maya Tuhan

Semuanya makhluk dan hamba Nya

Justeru kewujudan nya

Tiada lain tapi mengabdi diri kepada Nya

Itulah tugas manusia

Tugas Insan di dunia


Lantaran itu hubaya-hubayalah manusia

Ingatlah kejadian mu

Kamu akan dinilai

Apabila maut menggamitmu

Kamu akan ditanya

Siapa Tuhan mu

Apa addeen mu

Siapa Imam mu

Siapa Nabi mu

Siapa saudara mu

Dari mana harta mu didapati

Kemanakah kamu belanja

Kemana umur mu dihabiskan

Inilah persoalan dalam sebuah kehidupan

Inilah persoalan di alam barzakh

Untuk semua manusia

Muslim atau tidak

Beriman atau kufur

Taat atau engkar


Manusia muslim pasti mencari

Keredhaan dan keampunan Nya

Allah Yang Maha Berkuasa

Tiada lain melainkan redha Nya


Sajak ini telah ditulis olehku pada malam 16 Jun 2008

Monday, March 23, 2009

Inilah Blog Pertamaku...


Assalamu’alaikum wrt. wbt.

 

Para pengunjung blog Tinta Jihad yang dihormati!

Kehidupan di mayapada ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Dalam tempoh kematangan ini, aku kira perlu mengadakan sesuatu dalam meneruskan kehidupan yang rencam. Usia yang bertambah dari waktu ke waktu seharusnya dipenuhkan dengan sesuatu yang menuntut keredhaan Allah SWT. Aku faham dan sedar tujuan manusia dicipta Allah di dunia ini adalah untuk mengabdi diri kepada Nya seperti firmanNya dalam Surah Ar Zariat 56 yang bermaksud “ Tidak Ku  jadikan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdi diri kepada Ku “

Perintah Allah tersebut tidak setakat menjalankan ibadah khusus semata-mata, tetapi ibadat umum juga perlu dilakukan dalam semua aspek kehidupan demi ubudiahku kepada Allah SWT pencipta sekelian alam. Setiap kali dalam solatku, aku mengaku di hadapan Allah bahawa “ Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku semata-mata kerana Allah ”. Aku sering bertanya pada diriku, apakah sudah cukup pengabdianku kepada Allah selama ini ? Berapa banyakkah pemberian dan rezeki Allah yang telah ku pergunakan dan nikmati hingga kini ? Rasanya tidak sebesar mana nikmat Allah yang ku syukuri ? Betapa murkanya Allah kepadaku kerana sering mengingkari titah perintah Nya.

Lantaran  semua itulah, aku rasa terpanggil untuk melakukan jihad, kalau diawal Islam dahulu orang berjihad menggadai harta dan nyawa. Zaman itu kini telah berlalu, kini orang berjuang dengan minda dan ilmu, orang sudah tidak peka dengan kemungkaran dan jihad lagi, namun dalam zaman fahsya dan mungkar ini masih ada orang yang prihatin. Aku ingat pada Sabda Rasulullah yang bermaksud “ Jika kamu melihat kemungkaran cegahlah dengan tangan (kuasa), kalau tidak berkuasa dengan lisan (termasuk tulisan), dan kalau tidak mampu lagi dalam hati, dalam hati itu adalah selemah-lemah iman “ . Justeru, aku memilih cara kedua iaitu dengan lisan dan tulisan.

Demi Allah dengan kebolehan yang dianugerahkan kepadaku, aku akan menggunakan tulisan untuk menyatakan jihad ku. Ini adalah tempat yang akan ku gunakan untuk tujuan itu. Inilah Blog pertamaku... Blog Tinta Jihad ku !!

Dari Allah Kita datang kepada Allah kita kembali....

Wassalam